Cari Blog Ini

Sabtu, 8 Disember 2012


Bismillahi Rahmanir Rahim Wa bihi Nasta'in




Cinta dan kasih sayang umpama mentari, cahayanya boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang punya mata. Bersyukur jika kelembutan itu ada dalam rumah tangga kita, kerana itu petanda kebaikan berada bersama kita. “Orang yang dijauhkan dari sifat lemah lembut, maka ia dijauhkan dari kebaikan.” (HR.Muslim)

Malangnya, kini semakin sering terdengar betapa kelembutan itu semakin hilang. Tutur kata yang kasar, bahasa yang kesat dan suara yang tinggi sudah semakin lumrah di antara suami isteri.
Mengapa suami ku suka membentak? Mengapa sejak akhir-akhir ini isteri ku sudah mula menjerit-jerit? Suaranya menjadi tinggi, bahasanya menjadi kesat sekali, mengapa? Itulah antara keluhan yang samada diluahkan atau dipendamkan dalam sebuah rumah tangga.

Ah, betapa manusia semakin lupa bahawa sifat lemah-lembut itu bukan sahaja diperlukan di dunia, bahkan diperlukan di akhirat. Syurga itu disedikan untuk mereka yang lemah lembut dalam sikap dan tutur kata. Rasulullah saw telah bersabda: “Mahukah aku kabarkan kepada kalian tentang orang yang diharamkan dari neraka atau neraka diharamkan atasnya? Yaitu atas setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan.” (HR. Tirmidzi)

Mengapa frekuensi suara pasangan suami isteri boleh meninggi? Mana bisikan cinta dan luahan rasa yang mendayu-dayu seperti mula-mula dahulu?  Mengapa suara dinyaringkan padahal jarak fizikal antara mereka begitu hampir? Ya, mengapa perlu menjerit dan membentak pada hal mereka cuma duduk bersebelahan? Apakah telinga sudah tuli atau lidah kehilangan tenaga untuk berkata-kata?
Jawabnya mudah, itu semua kerana hati telah menjauh. Walaupun jasad masih dekat, jeritan, bentakan dan herdikan diperlukan apabila dua hati sudah menjarak. Justeru, hanya jeritan nyaring sahaja mampu merentasi jarak dua hati yang telah jauh itu!

Berbeza jika cinta masih ada dan menyala-nyala. Ketika itu dua hati masih berpadu. Satu bisikan sudah cukup untuk memperdengarkan dan didengari. Jarak cinta masih sangat hampir. Cuba bayangkan sepasang suami isteri yang asyik dilamun cinta, suara mereka berbicara hanya didengar oleh mereka berdua. Justeru. ‘alat komunikasi’ yang sebenarnya bukan gajet-gajet teknologi tetapi hati. 

Hati adalah alat komunikasi yang sangat canggih dengan syarat hati itu bersih. Cuba lihat bagaimana cara orang-orang soleh berkomunikasi dengan Allah lewat doanya. Suaranya perlahan, lembut, mendayu-dayu, merayu-rayu, penuh rasa harap dan malu.
Firman Allah:“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.”  (Al-A’raf 55-56)

Dan itulah jua asas dan teras komunikasi Allah dengan hambaNya. Sabda Rasulullah s.a.w:  “Sesungguhnya Allah adalah Dzat Yang Maha Lembut yang mencintai kelembutan dalam seluruh perkara.” (HR. Al Bukhari dan Muslim). Oleh kerana itulah nama-nama Tuhan sangat rapat dengan sifatNya yang Maha Lembut- Ar Rahman, Ar Rahim, Al Latif, Al A’fu, Al Ghafar dan lain-lain.
Perlu diingat, komunikasi bukan hanya menggunakan telinga dan mulut, tetapi menggunakan mata dan hati. Kita perlu memandang orang yang sedang berdepan dengan kita. Jangan hanya kata-kata kita tujukan kepadanya. Pandang dengan kasih sayang. Hati itu jendela bagi hati. Justeru, pertautan mata bermakna pertautan hati. Bahasa mata dan hati inilah yang dikenali sebagai bahawa rasa.  Itulah bahasa  sejagat yang  mempunyai nada dan melodi yang sangat harmoni.
Mata sangat diperlukan dalam komunikasi cinta. Oleh itu pandanglah mata pasangan kita, lalu berbicaralah dengan mata dan kata-kata, pasti hati kita dan dia akan bertaut… Ya, sekiranya di hati kita berdua masih ada cinta.

Namun, jika kita tidak mampu lagi merenung matanya,  dan bicara kita hanya dengan kata-kata dan telinga, itu petanda cinta sudah terguris. “Sesungguhnya sifat lemah lembut itu tidak berada pada sesuatu melainkan dia akan menghiasinya (dengan kebaikan). Sebaliknya, tidaklah sifat itu dicabut dari sesuatu, melainkan dia akan membuatnya menjadi buruk.” (HR. Muslim)
Pasti ada yang tidak kena di mana-mana. Cuba lihat orang yang berbohong, cuba amat-amati orang yang khianat, dan telitilah sikap orang yang benci, mereka tidak akan mampu menatap mata orang yang mereka bohongi, khianati dan benci. Maka begitulah bila mata tidak turut serta dalam komunikasi antara suami dan isteri, salah seorang atau keduanya, besar kemungkinan sudah terguris hatinya!

Cuba baca sejarah Rasulullah yang agung. Bagaimana baginda berbicara dengan sesiapa sahaja di hadapannya. Matanya, gerak tubuhnya, bahasanya begitu meyakinkan. Orang yang menjadi teman bicaranya rasa dihargai, disayangi dan diberi perhatian. Bila baginda berpaling, baginda memalingkan keseluruhan badannya (bukan hanya mukanya).
Nada suaranya lembut kecuali apabila menyampaikan nasihat tentang neraka dan ancaman-ancaman dosa. Matanya merenung penuh kasih. Baginda bukan hanya menghantar mesej pakej komunikasinya sepadu dengan rasa kasih-sayang, empati, dan cinta. “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (QS. Ali Imran: 159)

Para suami dan isteri, contohilah hati Rasulullah yang penuh cinta, insyaAllah akan lembutlah suara dan harmonilah kata-kata. Meskipun peribadi baginda terlalu tinggi untuk didaki, tidak mengapa… jika kita sekadar mampu meniru ‘di hujung kuku’.
Cuba hayati nasihat Rasulullah ini. Anggaplah Rasulullah sedang mengingatkan kita ketika baginda menasihati isterinya: “Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia mencintai sikap lemah lembut. Allah memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang tidak diberikan pada sikap lainnya.” (HR. Al-Bukhari)

Tidak ada insan lain yang paling berhak mendengar suara cinta dan bahasa kasih kita melainkan pasangan kita! Jangan berikan pada insan lain, sebelum kita berikan kepada suami atau isteri kita.     Jika tidak, hati pasangan kita akan ‘lari menjauh’ walaupun mungkin tubuh badannya masih sebumbung dengan kita. “Maka disebabkan rahmat dari Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka, sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Qs. Ali Imran: 159)
Janganlah memperdengarkan jeritan jika bisikan sudah mampu didengar. Bahasa adalah jiwa bangsa – maksudnya, bahasa itu boleh menggambarkan jiwa. Walaupun sifat hati tidak ketara tetapi kata-kata akan membuka rahsia. Jika hati baik, tutur kata menjadi lembut, bahasa menjadi indah dan nadanya menjadi merdu. Jika hati jahat, tutur kata menjadi keras, bahasa menjadi kasar dan nadanya menjadi celaru.

Kita hanya merosakan diri sendiri dengan bahasa yang kasar berbanding orang yang kita tujukan kata-kata itu. Bahasa yang kasar datang daripada kebencian. Sesungguhnya kebencian itu akan merosakkan diri  sendiri berbanding dengan orang yang kita bencikan. Sebaliknya jika bahasa kita baik, itu datang dari rasa cinta. Dan cinta akan memberi kebaikan kepada diri  sebanyak mana yang akan diterima oleh orang yang kita cintai!
Dalam Al-Quran ALLAH memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44:
“Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut”. Ya, para Rasul wajib menebarkan rasa kecintaan bukan kebencian.
Oleh itu  Rasulullah saw telah bersabda:  “Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi mencintai kelembutan. Dia memberikan pada sifat kelembutan yang tidak diberikan kepada sifat kekerasan, dan tidak pula diberikan kepada sifat-sifat yang lainnya.” (HR. Muslim)

Cinta mampu kembara merentasi ruang dan masa. Cinta adalah soal hati yang tidak mampu dipisahkan oleh jarak dan zaman. Cinta boleh melangkaui dimensi dan generasi. Justeru kita boleh mencintai Allah, yang tidak menyerupai sebarang makhlukNya. Kita boleh mencintai Rasulullah yang hidup ribuan tahun yang lalu. Kita boleh mencintai para sahabat dan para ulama silam yang tidak hidup sezaman dengan kita.

Itulah ajaibnya cinta. Ia adalah satu kekuatan yang sangat luar biasa kerana ia bertapak di hati, yakni ‘raja’ dalam kerajaan diri manusia. Apabila ada cinta, kita boleh berkomunikasi dan berintraksi walaupun dengan alat-alat perhubungan yang terhad. Cinta menimbulkan kemahuan yang sangat kuat dan bertenaga.    Namun, apabila tidak ada cinta… segalanya akan lesu dan kaku. Hati hilang keinginan, hasrat dan tenaga untuk  berkomunikasi dengan tulus, telus dan harmoni.
Bila kita kehilangan bahasa dalam bercinta, itulah petanda cinta itulah yang sebenar telah hilang! Tanpa cinta kita kehilangan makna, sedangkan makna itulah yang melahirkan bahasa… Bukankah makna cinta itu hadir dulu di dalam jiwa, kemudian barulah lahir ungkapan, aku cinta pada mu!


Rabu, 21 November 2012

HURAIKAN PEMBAHARUAN DALAM SISTEM PENTADBIRAN ISLAM PADA ZAMAN UMAR AL-KHATTAB



1. Pendahuluan
Saidina Umar al-Khattab ialah khalifah Islam yang kedua zaman Khulafa al-Rasyidin. Beliau terkenal sebagai seorang yang berani, warak, dan mempunyai siasah politik yang baik. Dikenali sebagai al-Farouk dan Amir al-Mukminin. Beliau memerintah selama 10 tahun dari 13- 23H. Pelantikan sebagai khalifah telah dicalonkan oleh Abu Bakar dan dipersetujui oleh umat Islam. Beliau melakukan banyak pembaharuan dalam pentadbiran Islam dan perluasan wilayah Islam serta mengembangkan dakwah Islamiah. Zamannya berlaku kegemilangan Islam, sama ada dalam bidang politik, ekonomi , sosial dan agama. Beliau meninggal dunia pada 23H.

2. Isi Kandungan
Di antara pembaharuan yang dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab pada zaman pemerintahan beliau ialah:

2.1. Sistem Syura
o   Majlis syura berperanan sebagai tempat perbincangan masalah yang berhubung dengan politik, ekonomi, social dan kebajikan serta masalah dalaman/ luar Negara.

o   Keputusan diambil atas persetujuan sebulat suara ahli majlis syura yang terdiri daripada para sahabat.

o   Membahagikan majlis syura kepada 2 jenis, iaitu Majlis Syura Tinggi dan Majlis Syura Am.

o   Bagi hal-hal yang kurang penting khalifah Umar mengadakan perbincangan di Masjid.


2.2. Perluasan wilayah Islam
o    Islam berkembang melalui proses penaklukan / perluasan kuasa.

o    Kawasan pengaruh Islam meliputi Hijaz, Syria, Iran, Iraq, Mesir, Palestin.

o    Bagi memudahkan pengawasan, pentadbiran wilayah diperkenalkan dan dilengkapi dengan pusat pemerintahan. Contoh Mekah, Damsyik, dan Kufah.

o   Kota Madinah dijadikan pusat pemerintahan keseluruhan wilayah Islam


2.3. Pelantikan Pegawai Wilayah
o  Memperkenalkan jawatan Wali/ Gabenor sebagai ketua pemerintah peringkat wilayah dan bertindak sebagai panglima tentera.

o     Melantik Sahib Bait-Al-Mal yang bertanggung jawab atas perbendaharaan wilayah.

o     Sahib Al-Kharaj berperanan memungut hasil percukaian wilayah Islam.

o     Ketua polis (Sahib Al-Ahdath) untuk mengawasi keamanan.

o     Jawatan Kadi diwujudkan untuk melicinkan sistem kehakiman.

o  Khalifah telah menentukan kriteria pemilihan pegawai yang layak memegang jawatan di wilayah.

o     Surat pelantikan pegawai yang mengandungi garis panduan/ tanggungjawab yang wajib dipatuhi.

o     Setiap Wali/ gabenor wilayah wajib memberikan laporan perkembangan di wilayah setiap tahun selepas musim haji.

o   Rakyat diberi penerangan tentang tanggungjawab pegawai yang dilantik, dan berhak untuk membuat pengaduan kepada khalifah.

o   Khalifah berhak melantik dan memecat pegawai yang tidak amanah/ tidak cekap melaksanakan tugas.


2.4. Pengurusan Tanah
o   Setiap wilayah Islam diperkenalkan undang-undang pengurusan tanah tersendiri, sebagai contoh di Iraq, tanah menjadi hak milik kerajaan:

·         Tanah yang asalnya dimiliki oleh pemerintahan Parsi.
·         Tanah yang tiada waris.
·         Tanah yang pemiliknya melarikan diri apabila kawasannya ditakluki oleh tentera Islam.

o   Hasil pungutan tanah digunakan oleh pemerintah Islam untuk membangunkan wilayah masing-masing.

o   Undang-undang pengurusan tanah di Syria dan Mesir memperuntukkan tanah yang dimiliki oleh golongan bangsawan dan pemerintah Rom diserahkan kepada petani.

o     Tentera Islam dan orang Islam tidak dibenarkan mengambil tanah di wilayah Islam ini kecuali jika dibeli untuk melindungi kebajikan penduduk asal wilayah Islam yang baru ditakluki.


2.5. Sistem Percukaian Tanah Dan Tanaman
o   Memperkenalkan sistem percukaian tanah berdasarkan jenis tanaman. Contoh: Gandum dikenakan cukai sebanyak dua dirham, barli satu dirham, anggur sepuluh dirham.

o   Tanah yang subur dikenakan cukai yang lebih tinggi berbanding dengan tanah yang kurang subur.


2.6. Memajukan Sektor Pertanian
o    Memperkenalkan peraturan yang membenarkan rakyat memiliki tanah sekiranya mereka meneroka tanah baru untuk tujuan pertanian.

o    Tanah yang dibiarkan tanpa diusahakan dalam tempoh 3 tahun akan menjadi milik kerajaan semula.

o   Bagi menggalakkan pertanian sistem pengairan dan terusan telah dibina –dikenali terusan Amirul-Mukminin di Mesir dan empangan Abu Musa.


2.7. Struktur pentadbiran ketenteraan
o     Memperkenalkan pasukan tentera tetap dan sukarela.

o     Pasukan tentera tetap dibayar gaji- Mereka tidak dibenarkan melibatkan diri dalam kegiatan sampingan seperti bertani bagi mengelakkan gangguan tumpuan terhadap tugas.

o  Tentera tetap diberi latihan intensif. Contoh - Berjalan tanpa pengalas kaki, menunggang kuda dan memanah.

o    Setiap tentera direkodkan nama dan nombor pendaftaran.

o   Pusat ketenteraan ditubuhkan, di Bandar-bandar utama seperti Madinah, Kufah, Basrah, Fustat dan Hims.

o    Membina kubu-kubu pertahanan sebagai langkah berjaga-jaga.


2.8. Sistem Kehakiman
o    Menetapkan syarat-syarat pelantikan kadi atau hakim yang ketat. Seperti berilmu, berperibadi tinggi, dikenali oleh masyarakat.

o    Jabatan kehakiman ditubuhkan dan dipisahkan dari Jabatan lain untuk menjamin keadilan.

o     Prinsip kehakiman berlandaskan syariat Islam.

o    Gaji Kadi/ hakim dibayar tinggi (500 dirham sebulan) untuk mengelakkan berlaku tidak adil.

o    Kadi/ hakim tidak digalakkan untuk terdedah kepada umum seperti di pasar atau tempat tumpuan ramai bagi menjamin keadilan perundangan.

3. Kesimpulan
Pelaksanaan dan kejayaan dalam pentadbiran yang telah diperkenalkan oleh khalifah Umar berkaitan dengan asas yang telah dilakukan oleh Rasulullah dan khalifah Abu Bakar. Khalifah Umar telah memperkenalkan sistem pemerintahan Islam secara meluas di samping membentuk empayar Islam.




BANDINGKAN DASAR PEMERINTAHAN KHULAFA Al-RASYIDIN DENGAN PEMERINTAHAN BANI UMAIYYAH



1. PENGENALAN
Khulafa al-Rasyidin terdiri daripada empat orang Khalifah selepas kewafatan Rasulullah iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Manakala Kerajaan Bani Umaiyyah diasaskan oleh Muawiyyah bin Abu Sufyan pada tahun 41 Hijrah. Nama Umaiyyah diambil sempena dengan nama pembesar Quraisy iaitu Umaiyyah bin Abd. Manaf. Kerajaan Umaiyyah memerintah selama 91 tahun oleh dua keturunan, iaitu keturunan Harb Bin Umaiyyah dan keturunan Abu al-Ash.

2. SISTEM PERLANTIKAN KHALIFAH
2.1. Khulafa al-Rasyidin
Adalah hak untuk semua kaum muslimin. Jawatan tidak diwarisi sebaliknya dilantik dan mendapat persetujuan masyarakat Islam. Khalifah Umar dilantik melalui wasiat Abu Bakar dan Khalifah Uthman dilantik melalui penubuhan Majlis Syura.

2.2. Bani Umaiyyah
Diwarisi secara keturunan, pemerintah mereka terdiri daripada kalangan keluarga Bani Umaiyyah. Khalifah melantik Putera Mahkota untuk mewarisi jawatan ketua Negara. Contohnya Muawiyyah telah melantik Yazid sebagai penggantinya dan Abdul Malik melantik al – Walid dan Sulaiman sebagai Putera Mahkota. Pelantikan dua orang putera mahkota menyebabkan berlakunya pergaduhan merebut kuasa.

3. DASAR PEMERINTAHAN
3.1. Khulafa al-Rasyidin
Al-Quran dan al-sunnah menjadi asas corak pemerintahan Khalifah mengutamakan kebajikan dan keadilan semua rakyat. Majlis Syura memainkan peranan penting dalam melaksanakan pentadbiran negara.

3.2. Bani Umaiyyah
Mengamalkan pemerintahan bercorak monarki yang mengutamakan dan menjaga kepentingan serta kedudukan pemerintah sehingga kepentingan rakyat diabaikan. Sebahagian khalifah menjalankan dasar pilih kasih dengan mengutamakan keluarga Bani Umaiyyah. Kelemahan Khalifah menyebabkan gabenor di beberapa wilayah menyalah gunakan kuasa, mengumpul kekayaan dan mengamalkan rasuah.

4. POLISI TERHADAP RAKYAT
4.1. Khulafa Al-Rasyidin
Semua rakyat dipandang sama tanpa mengira kaum dan kedudukan. Bagi mereka mendapat layanan yang sama dari segi keadilan, sosial dan ekonomi. Bagi mengelakkan berlaku penindasan ke atas penduduk di wilayah seperti Iraq dan Mesir, Umar menyusun semula dasar pemilikan tanah. Orang bukan Islam yang mendapat perlindungan politik pemerintah Islam dikenakan cukai jizyah yang tidak membebankan.

4.3. Zaman Bani Umaiyyah
Kebanyakkan Khalifah menjalankan polisi baru iaitu membezakan orang Arab dengan bukan Arab. Orang bukan Arab terutamanya Bani Umaiyyah mendapat keistimewaan. Golongan Islam bukan Arab ( Mawali ) seperti orang Parsi tidak dibenarkan memegang jawatan penting dan masih dikenakan cukai jizyah. Ini menyebabkan mereka bekerjasama dengan bani Abbasiyyah mengadakan gerakan sulit menentang kerajaan Bani Umaiyyah.

5. POLISI PROTOKOL KHALIFAH
5.1. Zaman Khulafa Al-Rasyidin
Khalifah tidak mempunyai hak istimewa dari sudut undang-undang. Hubungan khalifah dengan rakyat terjalin dengan baik. Rakyat boleh bertemu dengan khalifah dan mengadu tentang masalah mereka dan penyelewengan pegawai-pegawai.

5.2. Zaman Bani Umaiyyah.
Pentadbiran Kerajaan bani Umaiyyah banyak dipengaruhi oleh kerajaan Rom, Khalifah mengutamakan kepentingan dan kedudukan pemerintah. Khalifah mewujudkan protokol yang menyebabkan rakyat terpisah. Khalifah dikawal rapi oleh pengawal peribadi. Khalifah tinggal di istana dan kekayaan negara digunakan untuk kemewahan pemerintah dan keluarganya.

6. PERLANTIKAN DAN/ ATAU KEDUDUKAN PEGAWAI KERAJAAN
6.1. Zaman Khulafa Al-Rasyidin
Pegawai kerajaan seperti gabenor dan panglima tentera dilantik daripada mereka yang berkelayakan dan berkebolehan tanpa mengira kaum dan kedudukan. Di zaman Khalifah Umar baginda telah memeriksa semua harta benda kakitangan kerajaan sebelum dan setelah dilantik bagi mengelakkan penyelewengan dan rasuah. Rakyat boleh mengadu tentang penyelewengan pegawai kerajaan.

6.2. Zaman Bani Umaiyyah
Pegawai tinggi kerajaan dan tentera dilantik di kalangan keluarga Bani Umaiyyah dan golongan yang menyokong mereka. Pegawai yang dicurigai dipecat atau dihukum bunuh. Contohnya panglima Muhammad Ibnu Qassim dibunuh oleh Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.

7. DASAR PERLUASAN KUASA
7.1. Zaman Khulafa al-Rasyidin
Dasar perluasan kuasa wilayah di zaman ini adalah bertujuan untuk melemahkan kedudukan politik Rom dan Parsi yang menjajah dan menceroboh wilayah tanah Arab. Contohnya perluasan kuasa Khalifah Umar ke atas Mesir ialah untuk menamatkan kekuasaan Rom yang kejam dan membebaskan rakyat tempatan (Qibti). Kedatangan tentera Islam mendapat sokongan rakyat tempatan.

7.2. Zaman Kerajaan bani Umaiyyah
Dasar perluasan wilayah di zaman bani Umaiyyah terutama di zaman Khalifah Abdul Malik Bin Marwan dan al-Walid merupakan usaha untuk bersaing menunjukkan kehandalan dan kekayaan mereka. Contohnya Abdul Malik bin Marwan melancarkan gerakan tentera ke Kabul pada tahun 691H kerana Raja Kabul enggan membayar ufti tahunan. Dasar perluasan wilayah di zaman Bani Umaiyyah diperluaskan hingga ke sempadan China, India dan Sepanyol.

8. TINDAKAN KEPADA GOLONGAN YANG MENENTANG KHALIFAH
8.1. Zaman Khulafa Al-Rasyidin
Bagi menghadapi golongan ar-Riddah, iaitu golongan yang tidak mahu membayar zakat dan kemunculan nabi palsu, khalifah al-Rasyidin menghantar utusan memberi penerangan dan meminta mereka kembali kepada ajaran Islam. Tindakan ketenteraan diambil setelah golongan ini masih enggan menghentikan gerakan mereka. Abu Bakar dan khalifah yang lain memberikan layanan yang baik dan sama rata kepada golongan yang telah bertaubat dan kembali semula kepada ajaran Islam.

8.2. Zaman Bani Umaiyyah
Khalifah Bani Umaiyyah mengambil tindakan untuk menghapuskan gerakan yang menentang kerajaan Bani Umaiyyah terutama ke atas golongan Khawarij dan Syiah. Peristiwa Karbala telah memperlihatkan kekejaman Yazid yang membawa kepada pembunuhan Saidina Hussien. Penindasan dilakukan secara berterusan keatas golongan Khawarij dan Syiah. Khalifah Umar bin Abdul Aziz sahaja yang berusaha untuk mengadakan perundingan dengan pihak musuh.

9. PERSAMAAN DASAR PEMERINTAHAN
Persamaan dasar pemerintahan antara Khulafa Al-Rasyidin dan Khalifah Bani Umaiyyah seperti berlandaskan dasar pemerintahan Umar Abd. Aziz. Khalifah Umar bin Abdul Aziz merupakan Khalifah dari kerajaan Bani Umaiyyah yang berusaha menjalankan pemerintahan berlandaskan Islam. Ini menyebabkan beliau dikenali oleh ahli sejarah sebagai Khulafa Al-Rasyidin yang ke lima.

10. KEDUDUKAN KHALIFAH SEBAGAI KETUA AGAMA
Khulafa al-Rasyidin mempunyai autoriti bidang keagamaan. Di zaman Bani Umaiyyah autoriti itu telah terhakis.

11. KESIMPULAN


KHALIFAH ALI BIN ABI TALIB



1.   PENGENALAN
Khalifah terakhir dalam tamadun khulafah ar-Rasyidin ialah Saidina Ali bin Abi Talib. Beliau lahir pada 602 Masihi iaitu sepuluh tahun sebelum Nabi Muhammad menjadi rasul. Beliau merupakan sepupu kepada Nabi Muhammad. Nama sebenar beliau ialah Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutalib. Beliau berasal daripada keturunan Bani Hasyim dan merupakan golongan Arab Quraisy. Beliau telah berkhidmat sebagai khalifah selama hampir lima tahun hingga 661 Masihi sebelum wafat pada 17 Ramadhan tahun 41 Hijrah kerana dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljan di Kufah. Saidina Ali bin Abi Talib juga turut diberi gelaran sebagai Abu Thurab dan Abu Hasan. Beliau juga merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam. Beliau didoakan sebagai karamah allahu wajhah yang membawa maksud orang yang dimuliakan wajahnya atau maruahnya oleh Allah karana tidak pernah menyembah berhala. Malah, beliau juga sangat terkenal dengan sifat keberanian dan kepahlawanannya dan berwatak tegas serta berpengetahuan luas dalam perundangan Islam. Berkaitan dengan cara pemilihannya pula, Saidina Ali dipilih dan rela menjadi khalifah dalam keadaan negara yang huru hara akibat kewafatan Saidina Uthman bin Affan yang tidak mewasiatkan waris penggantinya.

2. SUMBANGAN KHALIFAH ALI BIN ABI TALIB
Di antara sumbangan dan jasa Khalifah Ali bin Abi Talib dalam siri pemerintahannya ialah:

2.1. Sanggup Menerima Jawatan Khalifah Dalam Keadaan Kegoyahan
Sumbangan terbesar saidina Ali bin Abi Talib kepada kerajaan Islam ialah beliau sanggup menerima jawatan pemimpin tertinggi kerajaan Islam pada ketika itu walaupun pada masa itu berlaku kegoyahan di mana bermulanya titik pertukaran politik negara Islam yang bercelaru apabila ramai pihak yang berebut untuk berkuasa dan menjadi ketua. Saidina Ali bin Abi Talib telah berusaha bersungguh-sungguh sehingga dibunuh hanya kerana untuk mengekalkan keamanan dalam negara Islam yang telah dibina oleh junjungan mulia Nabi Muhammad.

2.2. Menghentikan Peperangan Di Antara Umat Islam
Beliau juga bermati-matian dalam usahanya untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara. Misalnya dalam satu peperangan saudara; iaitu Perang Sifin, walaupun tenteranya hampir mencapai kemenangan dalam peperangan terebut tetapi disebabkan ada dalam kalangan pihak musuh yang rela mengangkat al-Quran, maka beliau sanggup menghentikan peperangan tersebut dan memulakan proses perundingan.

2.3. Membina Markas Tentera Di Parsi Dan Syria.
Biarpun mengutamakan keharmonian dan kedamaian, Saidina Ali bin Abi Talib juga tidak melupakan soal pertahanan negaranya. Buktinya, beliau telah membina markas tentera di Parsi dan di sempadan Syria.

2.4. Meneruskan Cukai Jizyah Kepada Zimmi.
Untuk mengembangkan sistem ekonomi negara, kutipan jizyah diteruskan. Perkara ini dinyatakan dalam surat yang dihantarkan kepada al-Asytar. Khalifah Ali meminta beliau mengikat perjanjian dengan golongan zimmi untuk mengenakan jizyah kepada mereka.                  
                                                                       

3. KESIMPULAN
Pada tahun 661M setelah Khalifah Ali bin Abu Talib meninggal dunia, maka, berakhirlah kaedah pelantikan pemerintah kerajaan Islam mengikut sistem syura. Kaedah itu telah diganti dengan sistem warisan. Berdasarkan sistem warisan, jawatan ketua pemerintah kerajaan Islam diwarisi secara turun-temurun atau dikenali sebagai pemerintahan monarki




Ukhtuka Fi Islam
Farah ‘Ullya Lutpi
SMKA Syeikh Abdul Malik, Kuala Terengganu



KHALIFAH UTHMAN BIN AFFAN


KHALIFAH ALI BIN ABI TALIB

1. PENGENALAN
Khalifah terakhir dalam tamadun khulafah ar-Rasyidin ialah Saidina Ali bin Abi Talib. Beliau lahir pada 602 Masihi iaitu sepuluh tahun sebelum Nabi Muhammad menjadi rasul. Beliau merupakan sepupu kepada Nabi Muhammad. Nama sebenar beliau ialah Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutalib. Beliau berasal daripada keturunan Bani Hasyim dan merupakan golongan Arab Quraisy. Beliau telah berkhidmat sebagai khalifah selama hampir lima tahun hingga 661 Masihi sebelum wafat pada 17 Ramadhan tahun 41 Hijrah kerana dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljan di Kufah. Saidina Ali bin Abi Talib juga turut diberi gelaran sebagai Abu Thurab dan Abu Hasan. Beliau juga merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam. Beliau didoakan sebagai karamah allahu wajhah yang membawa maksud orang yang dimuliakan wajahnya atau maruahnya oleh Allah karana tidak pernah menyembah berhala. Malah, beliau juga sangat terkenal dengan sifat keberanian dan kepahlawanannya dan berwatak tegas serta berpengetahuan luas dalam perundangan Islam. 

2. SUMBANGAN KHALIFAH ALI BIN ABI TALIB
Di antara sumbangan dan jasa Khalifah Ali bin Abi Talib dalam siri pemerintahannya ialah:

2.1. Sanggup Menerima Jawatan Khalifah Dalam Keadaan Kegoyahan
Sumbangan terbesar saidina Ali bin Abi Talib kepada kerajaan Islam ialah beliau sanggup menerima jawatan pemimpin tertinggi kerajaan Islam pada ketika itu walaupun pada masa itu berlaku kegoyahan di mana bermulanya titik pertukaran politik negara Islam yang bercelaru apabila ramai pihak yang berebut untuk berkuasa dan menjadi ketua. Beliau telah berusaha bersungguh-sungguh sehingga beliau dibunuh kerana untuk mengekalkan keamanan dalam negara.

2.2. Menghentikan Peperangan Di Antara Umat Islam
Beliau juga bermati-matian dalam usahanya untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara. Misalnya dalam satu peperangan saudara; iaitu Perang Sifin, walaupun tenteranya hampir mencapai kemenangan dalam peperangan terebut tetapi disebabkan ada dalam kalangan pihak musuh yang rela mengangkat al-Quran, maka beliau sanggup menghentikan peperangan tersebut dan memulakan proses perundingan.

2.3. Membina Markas Tentera Di Parsi Dan Syria.
Biarpun mengutamakan keharmonian dan kedamaian, Saidina Ali bin Abi Talib juga tidak melupakan soal pertahanan negaranya. Buktinya, beliau telah membina markas tentera di Parsi dan di sempadan Syria.

2.4. Meneruskan Cukai Jizyah Kepada Zimmi.
Untuk mengembangkan sistem ekonomi negara, kutipan jizyah diteruskan. Perkara ini dinyatakan dalam surat yang dihantarkan kepada al-Asytar. Khalifah Ali meminta beliau mengikat perjanjian dengan golongan zimmi untuk mengenakan jizyah kepada mereka.                  
                                                                       

3. KESIMPULAN
Pada tahun 661M setelah Khalifah Ali bin Abu Talib meninggal dunia, maka, berakhirlah kaedah pelantikan pemerintah kerajaan Islam mengikut sistem syura. Kaedah itu telah diganti dengan sistem warisan. Berdasarkan sistem warisan, jawatan ketua pemerintah kerajaan Islam diwarisi secara turun-temurun atau dikenali sebagai pemerintahan monarki




Ukhtuka Fi Islam
Farah ‘Ullya Lutpi
SMKA Syeikh Abdul Malik, Kuala Terengganu










KHALIFAH UMAR BIN AL-KHATTAB



1. PENDAHULUAN
Saidina Umar bin al-Khattab telah dilahirkan pada 13 tahun selepas kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad iaitu pada tahun 583 Masihi. Nama sebenar beliau ialah Umar bin al-Khattab bin Naufal. Beliau berketurunan Bani A’di daripada golongan Arab Quraisy. Beliau telah diberi gelaran al-Farouk yang membawa maksud pemisah antara hak dan batil; dan beliau sangat terkenal dengan sikapnya yang tegas, berani dan berterus-terang. Tarikh perlantikannya sebagai Khalifah kedua kerajaan Islam ialah pada hari Selasa, 22 Jamadilawal tahun ke 13 Hijrah bersamaan 634 Masihi. Beliau telah memerintah selama 10 tahun 6 bulan hingga tahun 644 Masihi sebelum wafat di usia 63 tahun di bulan Zulhijjah bersamaan tahun 23 Hijrah.
Berkenaan cara perlantikan beliau pula, Saidina Abu Bakar as-Siddiq telah menamakan beliau sebagai penggantinya ketika sedang sakit sebelum Saidina Abu Bakar wafat. Malah, Saidina Abu Bakar turut meminta pendapat dan pandangan orang ramai mengenai keputusannya untuk melantik Saidina Umar sebagai penggantinya. Wasiat Saidina Abu Bakar untuk melantik beliau sebagai waris Khalifah empayar Islam Madinah telah ditulis oleh Saidina Uthman bin Affan.

2. SUMBANGAN KHALIFAH UMAR BIN AL-KHATTAB
Zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab turut dianggap pengkaji sejarah Islam sebagai zaman keemasan tamadun Islam terutamanya kerajaan Islam Madinah kerana polisi pentadbiran dan pemwujudan beberapa pembaharuan dalam pentadbiran yang telah membawa banyak perubahan yang berjaya kepada kerajaan yang unggul pada ketika itu telah disusun rapi oleh pentadbiran Saidina Umar bin al-Khattab.

2.1. Menyusun Semula Majlis Syura
Antara sumbangan terpenting Saidina Umar al-Khattab kepada ketamadunan Islam ialah menyusun semula majlis Syura yang dianggotai oleh wakil daripada golongan muhajirin dan ansar. Malah, beliau turut mengisytiharkan penggunaan kalendar mengikut tahun Hijrah.

2.2. Menyusun Semula Undang-Undang Tanah
Selain itu, beliau turut menyusun semula undang-undang tanah negara dan menyusun semula pentadbiran tanah yang di bawah penguasaan kerajaan Islam di mana tanah-tanah tersebut dinamakan sebagai harta negara. Saidina Umar juga telah membahagikan jajahan takluk Islam kepada beberapa wilayah dan melantik wali atau gabenor sebagai ketua untuk bertindak sebagai pentadbir awam dan panglima tentera. Malah, wilayah yang telah dibahagikan turut dipecahkan lagi kepada beberapa kawasan seperti Mekah, Madinah, Palestin, Kufah, Jazirah dan Basra untuk melancarkan lagi sistem pentadbiran.

2.3. Menubuhkan Jabatan Kerajaan
Di samping itu, Saidina Umar al-Khattab juga telah menubuhkan beberapa jabatan penting seperti Jabatan Tentera, Jabatan Polis, Jabatan Percukaian dan Jabatan Perbendaharaan Negara. Seorang setiausaha diletakkan di setiap jabatan tersebut untuk mengetuai pentadbiran jabatan tersebut. Selain itu, beliau telah memisahkan Jabatan Kehakiman daripada jabatan lain. Seorang hakim pula telah dibayar gaji bulanan yang tinggi, sekitar 500 dirham untuk mengelakkan salah laku dalam menjalankan tugas.

 2.4. Menghantar Guru-Guru Agama Ke Seluruh Wilayah
Dalam sistem pendidikan; Saidina Umar al-Khattab telah mengembangkan pengajaran al-Quran dengan penyediaan madrasah di kawasan masjid dan beliau turut menghantar guru-guru agama ke seluruh wilayahnya untuk mengembangkan sistem pendidikan. Sebagai contoh, Abu Sufyan pernah diutuskan ke kawasan pedalaman untuk mengajar orang Badwi di kawasan tersebut.

2.5. Menyusun Semula Tentera Islam
Dalam pada itu, Saidina Umar al-Khattab juga telah mempertingkatkan lagi ketamadunan Islam pada masa itu dengan menyusun semula tentera Islam dengan mewujudkan pasukan tentera sukarela dan pasukan tentera tetap. Mereka juga diberikan gaji yang tetap dan pakaian seragam. Markas tentera dan kubu-kubu pertahanan turut dibina di bandar-bandar utama dan sempadan yang menghadap negara musuh seperti di Madinah, Kufah, Fustat dan Basrah. Pada zaman pemerintahannya juga, harta ghanimah tidak lagi diberi kepada tentera Islam setelah sistem gaji diperkenalkan.

2.6. Membina Terusan Dan Tali Air
Dalam bidang ekonomi pula, beliau juga telah membina terusan dan tali air untuk menambahkan lagi hasil pertanian seperti Empangan Abu Musa di Basrah dan Terusan Amirul Mukminin sepanjang 111 kilometer di Mesir. Rakyat juga telah digalakkan untuk meneroka tanah baru untuk pertanian di samping mengusahakan tanah terbiar.

2.7. Memperkenalkan Sistem Cukai
Saidina Umar al-Khattab turut memperkenalkan pelbagai jenis cukai untuk mempertingkatkan lagi pendapatan negara. Contonhya jizyah yang dikenakan kepada golongan zimmi (golongan bukan Islam yang hidup dalam pemerintahan kerajaan Islam) adalah tidak memberatkan mereka. Begitu juga dengan kharaj yang dikenakan ke atas hasil tanaman. Melalui sistem cukai ini, beliau telah berjaya menubuhkan Baitulmal. Saidina Umar bin al-Khattab juga telah diberi gelaran sebagai amirul mukminin atas kepimpinannya.


3. KESIMPULAN
Umar al-Khattab telah memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat semasa pemerintahan beliau.




Ukhtuka Fi Islam
Farah ‘Ullya Lutpi
SMKA Syeikh Abdul Malik, Kuala Terengganu


SUMBANGAN KHALIFAH ABU BAKAR AL-SIDDIQ



1. PENDAHULUAN 
Abu Bakar adalah putera Abu Quhafah yang nama aslinya adalah ‘Utsman,Abu Quhafah bin ‘Amir bin ‘Amr bin Ka’b bin Sa’d bin Taim bin Murrah bin Ka’b bin Luwai bin Ghalib bin Fihr. Panggilan Abu Bakar ini sebenarnya gelaran bagi beliau,bukan nama sebenar beliau. Abu bermaksud bapa manakala Bakar bererti dengan segera. Beliau digelar demikian kerana beliau memeluk Islam dengan segera mendahului orang lain. Nama beliau sebelum memeluk Islam ialah ‘Abdulka’bah manakala sesudah memeluk Islam digantikan oleh Nabi dengan nama ‘Abdullah. Abu Bakar berketurunan Bani Ta’mim. Sejak kecil, Abu Bakar terkenal dengan kejujurannya, berbudi pekerti mulia dan bersifat terpuji. Beliau digelar al-Siddiq kerana telah membenarkan setiap percakapan dan perbuatan Nabi. Beliau juga telah bersama-sama Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah dan tinggal bersama di dalam Gua Thur. Antara sahabat-sahabat Nabi, Abu Bakar adalah orang yang paling rapat dengan Nabi Muhammad s.a.w. Jadi, beliau menjadi lelaki dewasa pertama yang memeluk agama Islam. Abu Bakar bekerja dalam bidang perniagaan. Usia beliau juga hampir sama dengan usia Nabi Muhammad. Disebabkan oleh usia dan pekerjaan yang hampir sama itulah yang kemudiannya dapat mengikat kedua-duanya sehingga menjadi sahabat karib. Abu Bakar mempunyai lima orang cahaya mata. Putera-puterinya adalah Abdullah, Asma’, Aisyah, Muhammad, Ummu Kalsom. Abu Bakar wafat pada 23 Jamadil Akhir tahun 13 Hijrah. Makam Abu Bakar al-Siddiq berhampiran dengan makam Rasululullah SAW di Madinah.


2. SUMBANGAN KHALIFAH ABU BAKAR 
Di antara sumbangan-sumbangan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dalam siri pemerintahannya ialah:

2.1. Dalam Medan Dakwah
Selepas Abu Bakar As-Siddiq memeluk Islam, beliau mula berdakwah. Peribadi Abu Bakar telah dikenali oleh kaumnya sebagai seorang yang mulia dan selalu menolong orang lain. Oleh sebab itu, banyak orang yang selalu datang kepadanya untuk meminta tolong dan disebabkan oleh keperluan perdagangan. Dalam kesempatan baik seperti ini, beliau selalu mengajak teman akrabnya untuk masuk Islam. Antara teman akrabnya yang memeluk Islam dari dakwahnya adalah Zubair bin Awwam, Usman bin Affan, Talha bin Ubaidah, Saad bin Abi Wakas dan Abdurahman bin Auf r.a.

2.2. Memerangi Tentera Rom
Abu bakar menjadi khalifah pertama dalam kerajaan Khulafa al-Rasyidin. Beliau memerintah selama dua tahun iaitu dari 11 hingga 13 Hijrah atau 632 hingga 634 Masihi. Perintah pertama yang dikeluarkan sesudah Abu Bakar diangkat menjadi khalifah ialah mengerahkan dan meneruskan perjalanan tentera Usamah bin Zaid. Pasukan Usamah ialah pasukan yang telah disiapkan Rasulullah untuk menggempur barisan tentera Rom di Perbatasan Utara.

2.3. Membebaskan Dari Cengkaman Rom Dan Parsi
Sumbangan lain ialah membebaskan negeri-negeri yang berada di bawah cengkaman Rom dan Parsi. Beliau telah berjaya membebaskan negeri-negeri di bawah naungan Rom dan Parsi. Tentera Islam yang diketuai panglima Khalid bin al-Walid turut berjaya mempertahankan Madinah daripada ancaman kuasa luar seperti Parsi di sebelah Timur dan serangan kerajaan Byzantine (Rom Timur) di sebelah Barat.

2.4. Memerangi Golongan Murtad
Selain itu, Abu Bakar juga menghapuskan golongan murtad dan nabi palsu sekaligus mendaulatkan kerajaan Islam Madinah. Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin,malah ada di antara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah al-Kazzab. Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailimah dalam suatu pertempuran.

2.5. Memerangi Golongan Yang Enggan Membayar Zakat
Abu Bakar dalam dakwahnya ialah menghapuskan kaum yang enggan membayar zakat. Pemberontakan dan kekacauan itu sangat hebat sehingga mengakibatkan terdapat kabilah-kabilah Arab yang hampir murtad habis-habisan, melepaskan kepercayaan Islam seluruhnya manakala ada di antaranya yang masih tetap di dalam Islam tetapi enggan memenuhi salah satu daripada rukun Islam yang kelima iaitu zakat.

2.6. Membahagikan Tanah Arab Kepada Sepuluh Wilayah
Di samping itu, beliau turut berusaha untuk melicinkan lagi pentadbiran kerajaan Islam dengan membahagikan lagi Tanah Arab kepada sepuluh wilayah iaitu Mekah, Taif, Yaman, al-Jund, Khalwan, Bahrin, Jarsh, Zabid, Hadhramaut dan Nijran. Dalam dasar pemerintahannya, beliau turut melantik seorang amir atau ketua untuk mentadbir wilayah-wilayah tersebut.

2.7. Memperkenalkan Sistem Bayaran Gaji Kepada Tentera
Saidina Abu Bakar as-Siddiq turut memperkenalkan bayaran gaji untuk tentera melalui Ghanimah atau harta rampasan perang. Malah undang-undang tanah seperti bayaran cukai al-Kharaj atau cukai tanah dan Jizyah atau cukai perlindungan bagi orang kafir dan melindungi golongan mawali iaitu orang bukan Arab yang memeluk Islam.

2.8. Pengumpulan al-Quran
Sumbangan terbesar Saidina Abu Bakar als-Siddiq ialah beliau telah mengumpul semula semua naskah al-Quran dan mengkitab mukjizat Rasullullah itu menjadi panduan umat Islam sehingga kini. Hal ini kerana beliau telah mula runsing dengan kemunculan golongan murtad dan nabi palsu, maka beliau telah mengarahkan Zaid bin Thabit supaya mengumpulkan semua tulisan ayat al-Quran serta menyalinnya semula. Salinan tersebut telah disimpan olehnya dan telah diamanahkan kepada Saidina Umar bin al-Khattab, Hafsah (isteri kepada Nabi Muhammad) dan Saidina Uthman bin Affan. Sebagai pengiktirafan kepada jasanya itu, beliau telah digelar sebagai Penyelamat Umat Islam.

2.9. Sistem Pengurusan Jama’ah Haji
Selain itu,beliau juga merupakan sahabat awal yang mendapat gelaran Amirul Hajj. Ini berlaku pada tahun ke-9Hijrah. Tugas Amirul Hajj adalah memimpin jemaah haji ke Mekah sehingga kepulangan mereka di samping memberikan pengawalan dan menjaga keamanan mereka. Tugas sebagai Amirul Hajj juga adalah sebagai pembimbing pelaksanaan syiar ibadah haji di Mekah, Arafah dan di pelbagai daerah-daerah tanah suci.


3. KESIMPULAN
Saidina Abu Bakar al-Siddiq boleh diumpakan sebagai seorang yang amat penting dalam hidup Nabi Muhammad s.a.w. Beliau merupakan seorang yang sanggup berjihad dan mengorbankan nyawa serta harta demi memperoleh keredaan Allah. Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam seharusnya hidup berlandaskan syariat Islam. Kita perlu berusaha dalam membebaskan manusia daripada belenggu syirik. Pembangunan ekonomi juga patut dilaksanakan untuk perluasan dakwah dan kemajuan negara kita sendiri. Selain itu,pihak kerajaan juga perlu sama-sama berganding bahu dengan rakyat untuk menyebarkan dakwah Islamiah. Pengaruh Islam semakin tersebar apabila Khalifah Abu Bakar berjaya memerangi golongan murtad dan nabi-nabi palsu dalam kalangan kabilah-kabilah. Kebijaksanaan politik Abu Bakar itu membawa perkembangan masyarakat Arab ke arah kesatuan politik dan menjadikan mereka melihat Madinah sebagai ibu kota negara mereka dan sumber segala kebijakan mereka.





Ukhtuka Fi Islam
Farah ‘Ullya Lutpi
SMKA Syeikh Abdul Malik, Kuala Terengganu