Cari Blog Ini

Selasa, 20 November 2012

INSTITUSI KHALIFAH


1. DEFINASI KHALIFAH

Pengertian Khalifah Dari Bahasa
Khilafah menurut makna bahasa merupakan mashdar dari fi'il madhi khalafa, bererti: menggantikan atau menempati tempatnya. Makna khilafah  adalah orang yang datang setelah orang lain lalu menggantikan tempatnya.

Dalam kitab Mu'jam Maqayis al-Lughah dinyatakan, khilafah dikaitkan dengan penggantian karena orang yang kedua datang setelah orang yang pertama dan menggantikan kedudukannya. Menurut Imam ath-Thabari, makna bahasa inilah yang menjadi alasan mengapa as-sulthan al-a'zham (penguasa besar umat Islam) disebut sebagai khalifah, karena dia menggantikan penguasa sebelumnya, lalu menggantikan posisinya (Kitab Tafsir Ath-Thabari, juz: hal: 199). 

Pengertian Khalifah Dari Sudut Istilah
Menurut Imam al-Baidhawi, khilafah adalah pengganti bagi Rasulullah s.a.w. oleh seseorang dari beberapa orang dalam penegakan hukum-hukum syariah, pemeliharaan hak milik umat, yang wajib diikuti oleh seluruh umat (Hasyiyah Syarah ath-Thawali', hal.225). 

Menurut Ibn Khaldun, khilafah adalah pengganti seluruh (urusan umat) sesuai dengan kehendak pandangan syariah dalam kemaslahatan-kemaslahatan mereka baik ukhrawiyah, maupun duniawiyah yang kembali kepada kemaslahatan ukhrawiyah (Kitab al-Muqaddimah, hal: 166 & 190). 

Menurut Syah Waliyullah ad-Dahlawi: Khalifah adalah kepimpinan umum untuk menegakkan agama dengan menghidupkan ilmu-ilmu agama, menegakkan rukun-rukun Islam, melaksanakan jihad, melaksanakan peradilan, menegakkan hudud dan juga sebagai pengganti dari Nabi s.a.w. ( Lihat dalam Kitab 
Iklil al-Karamah fi Tibyan Maqashid al-Imamah, oleh: Shadiq Hasan Khan, hal. 23). 


2. KONSEP KHALIFAH
Menurut Afzalur Rahman dalam bukunya, Ensiklopedia Sirah, perkataan khalifah terdiri daripada tiga maksud yang berbeza.
Pertama: Merujuk kepada tanggungjawab terhadap kuasa yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala. Dalam hal ini seluruh keturunan nabi Adam a.s. merupakan khalifah di muka bumi.
Kedua: Merujuk kepada orang yang mengetuai kerajaan Allah dan menggunakan segala kuasa khalifah di bawah syariat yang diturunkan oleh Allah melalui RasulNya. Dalam hubungan ini hanya orang yang benar-benar beriman yang dapat dipanggil sebagai khalifah Allah di bumi ini.
Ketiga: Merujuk kepada penggantian seseorang atau umat yang mempunyai kuasa oleh seseorang atau umat lain.
Dua makna yang pertama berasal daripada perkataan khalifah yang bererti wakil, manakala yang ketiga adalah digunakan dalam erti kata mengambil alih atau mewarisi daripada seseorang atau satu-satu umat. Tegasnya, pengertian khalifah yang dinyatakan di dalam ayat yang telah dicatatkan di atas merujuk kepada kekuasaan kerajaan yang ikhlas dan benar-benar percaya kepada kerajaan Allah serta mengendalikan urusan Negara selaras dengan syariat yang ditentukan oleh Allah Orang yang memahami istilah khalifah yang dinyatakan dengan maksud kekuasaan semata-mata mungkin akan membuat kesimpulan yang salah tentang institusi khalifah.
Prinsip khalifah seperti yang dijelaskan ini sebenarnya telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ

Maksudnya: “Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Nabi Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa”(al-Nur. 24 :55).

Ayat di atas menjelaskan tentang tiga asas utama khalifah dalam Islam;

a. Negara Islam diketuai oleh orang yang bergelar Khalifah.

b. Gelaran khalifah diberi kepada seluruh masyarakat Islam bukan kepada mana-mana individu, kumpulan atau keluarga.

c. Prinsip khalifah hanyalah untuk orang yang beriman kepada Allah dan mengerjakan amalan kebajikan. Dalam perkataan yang lain orang yang benar-benar baik dan bertakwa. Golongan ini benar-benar bebas daripada tuhan-tuhan yang lain serta mengabdikan diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan dan mengakuiNya sebagai Tuan, Raja dan Pemilik kerajaan. Orang seperti ini adalah khalifah yang sebenarnya seperti yang dijanjikan di muka bumi ini dan bukannya orang yang mengabdikan dirinya dibibir mulut sahaja sedangkan amalan kebajikannya kosong. Orang yang seperti ini tidak layak menjadi khalifah dan janji Allah itu tidak sesuai untuknya.


3. CIRI-CIRI KHALIFAH MENURUT ISLAM
Konsep khalifah menurut Islam adalah berasaskan kepada tiga prinsip yang utama iaitu
o   Tauhid (Keesaan Allah),
o   Risalah (Kenabian) dan Khalifah
o   (wakil atau pengganti).

Ianya  mengakui realiti alam yang kekal iaitu ia dicipta, dipelihara dan ditadbirkan oleh Allah s.w.t. Yang Satu, Yang merupakan Pencipta, Pengawal serta Rajakepada seluruh makhluk. Dialah sahaja yang berhak menerima ketaatan daripada seluruh makhluk termasuk manusia. (Abu A’la Maududi, 1977 : 8)
Pada masa yang sama hukum-hukum dan kehendakNya disampaikan melalui Rasul-rasulNya di dalam bentuk Kitab yang menerangkan hukum dengan interpretasi serta contoh-contoh yang disampaikan oleh Rasul-rasul melalui contoh-contoh mereka daripada segi kata-kata dan perbuatan, yang akhirnya membentuk satu model sistem kerja. Khalifah bererti wakil manusia bertindak sebagai seorang wakil Allah di dunia dan menjalankan perintah Allah melalui kuasa yang diamanahkan oleh Allah kepadanya dalam batas-batas yang ditentukan olehNya. Khalifah menggambarkan empat syarat penting sebagai fungsi wakil.
Pertama: Kuasa yang sebenarnya berada di tangan Allah;
Kedua: Manusia hanyalah semata-mata pentadbir hukumNya;
Ketiga: Pentadbiran hukum-hukumNya mestilah selaras dengan batas-batas yang telah ditetapkaNya;
Keempat: Dalam mentadbir hukumNya manusia akan melaksanakan kehendakNya dan memenuhi tujuanNya. Oleh itu perlantikan manusia sebagai khalifah yang diwujudkan dalam kerajaan Allah adalah untuk memenuhi tujuan dan objektifNya di dalam batas-batas yang telah ditentukanNya. (Abul A’la Maududi, 1979 : 42)
Menurut Abu A’la Maududi lagi seluruh manusia diberi kuasa sebagai khalifah, bukan hanya satu kelas atau kumpulan manusia yang tertentu sahaja. Sesiapa sahaja yang bersediauntuk menerima syarat-syarat khalifah , akan memikul tanggungjawab khalifah untuk seluruh masyarakat. Ini merupakan titik permulaan demokrasi Islam yang setiap ahlinya menikmati hak-hak dan kuasa sebagai khalifah Allah s.w.t. Pada masa yang sama semua rakyat akan menikmati hak ini secara saksama, tanpa sebarang perbezaan. Agensi yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan urusan-urusan Negara akan dibentuk melalui persetujuan rakyat.
Berdasarkan kepada fakta inilah bolehlah disimpulkan bahawa kuasa seorang khalifah akan menjadi kuasa yang diamanahkan kepada orang yang memegang sesuatu tampuk pemerintahan atau kekuasaan.
Berdasarkan perbincangan di atas jelaslah menggambarkan bahawa seorang khalifah itu mestilah seorang yang memiliki perwatakan dan personaliti yang sangat tinggi dan menarik. Contoh yang paling agung bagi menggambarkan seorang khalifah yang tiada tolok bandingnya ialah Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Baginda adalah merupakan seorang negarawan yang sempurna samada sebagai seorang pemimpin masyarakat, pemimpin angkatan tentera, pemimpin politik, pendidik (guru), perancang ekonomi, ketua rumahtangga mahupun sebagai seorang sahabat.

4. KAEDAH PEMILIHAN KHILAFAH
Di antara kaedah pemilihan khalifah selepas kewafatan Nabi s.a.w. ialah:
1.      Cara Perundingan Beramai-ramai
Cara ini adalah mengadakan perundingan atau persetujuan tanpa ditetapkan calon terlebih dahulu. Pemilihan cara ini berlaku seperti dalam pemilihan ke atas Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Abu Bakar telah dilantik melalui bai'at yang dilakukan melalui dua peringkat. Peringkat pertama dikenali sebagai Bai'at Khas di Balai Saqifah Bani Sa’ adah, manakala peringkat kedua dikenali sebagai Bai'at Am, iaitu diadakan di Masjid Nabi.

2.      Usul Dari Seorang Calon
Dalam cara ini, seorang calon khalifah telah diusulkan oleh khalifah sebelumnya untuk dipilih oleh umat Islam. Hal ini berlaku semasa Khalifah Abu Bakar as-Siddiq sedang sakit. Beliau telah menyusulkan nama Saidina Umar al-Khattab untuk dipilih oleh umat Islam sebagai penggantinya. Usul tersebut diterima sebulat suara oleh umat Islam.

3.      Usul Dari Sekumpulan Calon
Uthman Bin Affan dilantik melalui ‘syura’ di mana Uthman adalah salah seorang dari anggota majlis perlantikan khalifah. Umar telah mencalonkan enam orang sahabat yang layak dipilih sebagai khalifah. Keenam orang yang dimaksudkan ialah Uthman Bin Affan, Ali Bin Abu Talib, Abdul Rahman Bin Auf, Talhah Bin Ubaidullah, Zubair al-Awwam dan Saad Bin Abi Waqqas. Pemilihan khalifah tersebut mestilah dilakukan selewat-lewatnya tiga hari selepas kewafatan Umar.

4.  Usul oleh Sekelompok Masyarakat
Ali Bin Abu Talib dilantik secara paksa oleh golongan pemberontak yang tidak berpuas hati dengan pemerintah Uthman dan akhirnya membunuh Uthman. Ali terpaksa menerima jawatan tersebut memandangkan suasana huru-hara ketika itu.

Syarat Kelayakan Khalifah
o    Seseorang itu mesti yang merdeka, iaitu bukan hamba abdi dan mesti beragama Islam.
o    Mempunyai ilmu agama Islam yang lengkap yang membolehkannya melakukan ijtihad ke atas masalah yang berlaku dalam urusan kehidupan dan juga mengenai hukum-hukum perundangan Islam.
o   Mesti adil iaitu istiqamah dalam akhlak Islam. Semua tingkah laku baik, menjauhkan maksiat, baik dari segi syarak atau akidah.
o    Mesti kifayah/ berkemampuan iaitu mesti mempunyai kemampuan untuk melaksanakan undang-undang.
o     Pancaidera serta anggota badannya tidak cacat.
o     Luas pengalaman dan bijak dalam pentadbiran.
o   Berani dan berwibawa dalam mempertahankan taraf ummah dan agama terutamanya dalam soal jihad.





Ukhtuka Fi Islam
Farah ‘Ullya Lutpi
SMKA Syeikh Abdul Malik, Kuala Terengganu




Tiada ulasan:

Catat Ulasan